Thursday, April 22, 2010

MSDeaf ditubuhkan














MSDeaf.

Demikianlah nama singkatan yang dicadangkan untuk menubuhkan pertubuhan baru yang disebut sebagai Persatuan Sukan Pekak Malaysia atau Malaysian Deaf Sports Association dalam bahasa Inggeris.

Hal ini merupakan kata putus yang telah dipersetujui sebulat suara selepas perbahasan dilangsungkan berjam-jam dalam Mesyuarat Penaja Penubuhan Persatuan Sukan Pekak yang diadakan di Rumah Rukun Tetangga Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

Boleh dikatakan bahawa pihak MSFD telah menghidupkan semula usaha yang terbantut, iaitu mendaftarkan badan sukan Pekak kebangsaan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), salah satu agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

MSDeaf bakal mengambil alih tempat sebagai badan peneraju sukan warga Pekak kebangsaan daripada MSFD (Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia) yang masih berstatus didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Mengikut Akta Pembangunan Sukan, mana-mana persatuan sukan di bawah ROS digalakkan berdaftar semula dengan PJS untuk membolehkan pengurusan sukan dijalankan secara lebih bersistem dan profesional mengikut undang-undang termasuk kebenaran menganjurkan program kesukanan peringkat nasional dan antarabangsa.

Pihak Persatuan Orang Pekak Perak (PSD) telah menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat tersebut dan diwakili oleh penulis selaku Presiden PSD bersama dengan Ong Ruenn Shin (Timbalan Presiden), Soon Yeok Voon (Bendahari) dan Eamienor Zakiah (Penolong Setiausaha).

Yang turut hadir ialah wakil-wakil persatuan orang Pekak negeri dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur termasuk Kelab Pekak YMCA Kuala Lumpur. Kebanyakan peserta Pekak itu terdiri daripada golongan individu Pekak yang merupakan atlet Pekak dan peminat sukan Pekak.

Sebelum mesyuarat penaja tersebut bermula, seorang pegawai kerajaan dari PJS, Puan Pn. Umi Hani bt Abu Kassim telah dijemput untuk menyampaikan taklimat penubuhan badan sukan dan menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh sebilangan peserta Pekak. Beliau dibantu oleh penterjemah bebas, Jonah Ong.

Penulis menyatakan bahawa komuniti warga Pekak di sesetengah negeri tidak bersedia untuk mendirikan satu lagi persatuan sukan Pekak peringkat negeri disebabkan oleh kekurangan pemimpin sukan Pekak, sikap warga Pekak yang kurang cenderung dengan kegiatan berpersatuan sukan, keramaian persatuan Pekak yang berorientasikan kebajikan dan faktor saiz komuniti Pekak.

Bersandarkan rasional-rasional tersebut dan hasil tinjauan penulis sepanjang memimpin persatuan Pekak lebih daripada lima tahun, penulis mencadangkan agar persatuan baru, MSDeaf seharusnya berbeza dengan struktur MSFD yang sedia ada, iaitu membenarkan keahlian terbuka kepada para warga Pekak untuk menjadi ahli MSDeaf secara terus.

Hal ini bermakna bahawa MSDeaf akan mengamalkan sistem dwi keahlian, iaitu ahli biasa (individu) dan ahli gabungan sukan (bakal persatuan satu jenis sukan atau persatuan sukan peringkat negeri).

Keahlian individu akan menjadi formula galakan untuk menarik lebih ramai atlet Pekak dan warga Pekak yang berminat dalam bidang sukan menyertai MSDeaf dan membolehkan penyampaian idea dan cadangan mereka secara langsung kepada pucuk kepimpinan MSDeaf untuk memperkemas pentadbiran dan pembangunan sukan warga Pekak secara menyeluruh.

Bagaimanapun, satu kemungkinan akan timbul sebagai tindak balas terhadap implikasi tersebut, iaitu setiap persatuan orang Pekak negeri dijangka akan memerdekakan diri daripada gabungan MSFD sekiranya penubuhan MSDeaf yang sah menjadi kenyataan pada masa kelak. Dengan ini MSFD akan ditransformasikan kepada MSDeaf yang berwajah baru.

Hal ini sedemikian kerana persatuan tersebut di bawah sistem ROS tidak dibolehkan menyertai gabungan MSDeaf melainkan sekiranya sesebuah negeri mempunyai kemampuan untuk mendirikan persatuan sukan orang Pekak peringkat negeri di bawah PJS dengan syarat mendapatkan sokongan bertulis daripada MSDeaf.

Mengikut tuntutan semasa, penulis berpendapat bahawa negeri Perak tidak memerlukan sebuah persatuan sukan Pekak negeri yang baru memandangkan kekurangan tenaga kepimpinan Pekak tempatan serta PSD mempunyai wakil Pekak dalam PESRON Perak yang ditubuhkan pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, PSD akan menjalankan program kesukanan mengikut objektif yang tertera dalam perlembagaan pertubuhan serta menggalakkan ahli-ahli PSD yang didapati berbakat dan berdaya saing dalam sukan agar menyertai MSDeaf menerusi tiket keahlian individu.

Dengan ini, mereka berpeluang untuk mendapatkan manfaat seperti terpilih mewakili negara ke kejohanan sukan berprestasi tinggi dan juga menggerakkan perjuangan secara lebih dekat untuk memastikan kesamarataan hak-hak bersukan dan kebajikan para atlet Pekak tercapai.

Pandangan-pandangan sedemikian yang penulis bentangkan telah mendapat maklum balas yang positif daripada wakil-wakil dan hadirin mesyuarat dan menghasilkan resolusi untuk menubuhkan persatuan baru dengan penyertaan sekurang-kurangnya tujuh orang dan bukannya sistem gabungan negeri sebagaimana yang dibenarkan oleh pihak PJS.

Kelima-lima orang EXCO MSFD dilantik menyandang jawatan yang sama dalam Jawatankuasa Penaja Penubuhan MSDeaf manakala lima orang hadirin pula dipilih menjadi AJK Protem. Penulis adalah seorang daripada AJK Protem tersebut.

Jawatankuasa penaja ini akan dipimpin oleh Kamarzaman Harun selaku Presiden Protem dan bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas khas berhubungan dengan permohonan kelulusan pendaftaran PJS dan kerja-kerja persiapan mesyuarat agung yang kali pertama sekiranya lampu hijau diperoleh.

Mesyuarat penaja itu merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada dua individu Pekak yang mengambil berat kepentingan pembangunan sukan Pekak, iaitu Anne Laura Raymond dari Kuala Lumpur dan Piong Chee Sing (Melaka) yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka (POPNM).

Nama MSDeaf diideakan oleh Anne Laura Raymond dan diberikan sambutan yang hebat oleh majoriti hadirin mesyuarat. Nama penuh, Persatuan Sukan Pekak Malaysia pula dicadangkan oleh Piong Chee Sing.

Pengkaji bahasa isyarat Pekak, Ho Koon Wei (Kuala Lumpur) mencadangkan versi bahasa Inggeris, "Malaysian Deaf Sports Association" dan meyakinkan mereka supaya penggunaan kata sendi, “of the Deaf ” atau "for the Deaf"dielakkan untuk menghasilkan nama yang ringkas dan tepat.

Penulis berharap agar permohonan penubuhan MSDeaf akan diterima dan diluluskan walaupun ia dijangka akan mengambil masa untuk melalui pelbagai prosedur tertentu. Walaupun apa-apa dugaan yang akan berlaku, kehadiran MSDeaf seharusnya diberikan sokongan dan harapan baru dengan memperkenalkan model pembangunan sukan Pekak yang mapan dan bersesuaian dengan tuntutan dasar sukan negara.

Penulis bersetuju dengan ketegasan pegawai PJS, Puan Umi Hani yang menyatakan bahawa sebarang pertikaian dan perbezaan pendapat seharusnya diselesaikan sendiri oleh para pemimpin sukan Pekak secara bijaksana sehingga pihak PJS tidak boleh diheret campur tangan dalam perkara tersebut.

"Budaya warga Pekak termasuk contoh kes sama ada menimbulkan permasalahan mahupun mengatasi konflik dengan penyelesaian tersendiri hendaklah dihormati dan tidak akan dicampuri oleh masyarakat bukan Pekak," katanya.

Sewaktu penulis hendak diperkenalkan diri oleh Presiden MSFD sebelum sesi taklimat, Puan Umi Hani menyatakan sudah mengenali diri penulis terlebih dahulu menerusi blog ini dan pernah membaca artikel-artikel tulisan penulis dalam ruang Pena Diam. Beliau mengeluarkan dan menunjukkan salinan artikel kepunyaan penulis.

Penulis terkejut dan menghargai penjelasannya. Blog ini telah menjadi rujukan alternatif kepada masyarakat umum seperti beliau untuk mengetahui perkembangan isu semasa dan membuat kajian ilmiah sebagai persediaan untuk berceramah.


Perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan





Semalam penulis menerima panggilan yang mengajak penulis menghadiri persembangan sambil minum petang bersama pemimpin-pemimpin MSFD (Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia) di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya. Mereka kelihatan amat bergembira dengan penuh harapan dan keyakinan.

Barulah penulis dimaklumkan bahawa mereka telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato' Ahmad Shabery Cheek di pejabat Menteri. Ia merupakan pertemuan yang tidak terancang dan telah memberikan peluang kepada mereka untuk memperjuangkan dan menyampaikan isu-isu sukan Pekak kepada menteri tersebut.

Atas permintaan mereka, penulis menyiarkan laporan berita yang dikarang oleh Presiden MSFD, Kamarzaman Harun dalam blog ini untuk dikongsi bersama para pembaca.

Salam Bahagia.

Hari ini adalah hari yang bersejarah bagi MSFD kerana telah bersemuka dengan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek di pejabat beliau setelah berbulan-bulan ingin membuat kunjungan hormat bagi mendapatkan pengiktirafan daripada pihak KBS sejak pulang dari Sukan Deaflympics Taipei pada bulan September 2009 yang lepas.

Pada asalnya pihak Setiausaha Sulit kepada Menteri KBS, Encik Abdul Razak memanggil pihak MSFD ke pejabatnya untuk berbincang mengenai butiran yang akan dikemukakan apabila berjumpa dengan Menteri KBS pada masa kelak. Bagaimanapun secara tiba-tiba pihak MSFD diberitahu oleh pihak Setiausaha Sulit agar terus berjumpa dengan Menteri di pejabatnya pada jam 5.00 petang.

Walaupun tiada perancangan (tidak mendapatkan khidmat jurubahasa) tetapi oleh kerana peluang keemasan ini pihak MSFD tidak akan lepaskan dan terus pergi berjumpa dengan beliau.

Pihak MSFD diwakili oleh saya selaku Presiden, Pong Chang Khim Timbalan Presiden, Lim Anuar Setiausaha Agung dan Ong Shin Ruenn sebagai pengiring dan jurufoto bagi pihak MSFD.

Kunjungan hormat ini telah berlangsung selama 30 minit. Dalam perbincangan dengan Menteri, pihak saya telah memaklumkan dua perkara yang penting iaitu:

1. Memohon pihak KBS mengaturkan satu kunjungan hormat bagi atlet-atlet Pekak yang telah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang 2 pingat dari SukanDeaflympics pada bulan September tahun lalu.

2. Memohon pihak KBS memberikan sokongan kepada SOPMA kali ke-17 yang akan diadakan di Melaka pada tahun ini. Saya juga telah menyatakan bahawa SOPMA adalah sukan bagi orang Pekak dan bukannya di bawah Sukan Paralimpik Malaysia walaupun ada orang Pekak yang menyertai Sukan Paralimpik.

Saya menyatakan sekiranya orang Pekak menyertai kejohanan Paralimpik mereka sekadar memanaskan badan kerana SOPMA adalah landasan bagi pemilihan atlet-atlet Pekak yang terbaik bagi mewakili negara ke kejohanan sukan peringkat antarabangsa bagi warga Pekak.

Jawapan daripada Menteri:

1. Menteri menggesa pihak MSFD menghantar surat dengan segera kepada beliau untuk memaklumkan apakah perkara-perkara yang pihak MSFD perlukan bagi memudahkan beliau membuat tindakan segera nanti.

2. Menteri mahukan tindakan yang patut bagi membantu SOPMA 17 di Melaka nanti. Butiran lanjut tidak dapat difahami. Walau bagaimanapun beliau memahami keperluan MSFD bagi menjayakan penganjuran SOPMA 17 di Melaka.

3. Pihak Menteri menjemput pihak MSFD (Presiden dan Setiausaha Agung MSFD) ke Majlis Anugerah Sukan yang akan diadakan pada 27 April di Hotel Mandarin Oriental. Tidak dapat dipastikan sekiranya pihak atlet-atlet Pekak yang telah mendapat pingat di Sukan Deaflympics 2009 akan dijemput untuk menerima anugerah. Walau bagaimanapun pihak MSFD akan memastikan atlet-atlet Pekak Deaflympics diberikan penghargaan nanti.

Butiran yang lengkap dan terperinci pihak saya akan mendapatkannya daripada pihak Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS yang telah mencatatkan minit mesyuarat perjumpaan berkenaan.

Sekian.

Kamarzaman
Presiden MSFD